“Belajar sambil MENCABAR, Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, BERPENGALAMAN MENCABAR DAN TERPELAJAR "Biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar"- ( Prof Ungku A. Aziz)
Kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai Universiti Putra Malaysia yang menyebut ”tidak guna sembahyang kalau tak bayar yuran” merupakan tindakan yang tidak beretika dan bermoral. Kenyataan ini ditujukan kepada seorang aktivis mahasiswa sewaktu dua mahasiswi iaitu Nor Farhana Farziena Azmi dan Nur Shafiqa Mohd Ali diarahkan keluar Kolej Tun Perak minggu lepas. Selain daripada menyentuh sensitiviti islam, kenyataan ini memburuk nama Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi.
Oleh yang demikian, Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) telah membuat aduan tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Putrajaya pada hari semalam, 23 Oktober berhubung kenyataan pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar itu yang disifatkan boleh menimbulkan kekeliruan.
Hasil daripada kejadian tersebut, Jurucakap Pro-Mahasiswa Nasional, Saudara Ahmad Shahir Aziz membuat laporan polis hasil daripada kenyataan yang sangat sensitiviti dan mengelirukan orang ramai. Menurutnya, kenyataan ini juga mencabar kesucian agama Islam di bawah Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan. Dia memohon agar pihak berkuasa yang bertanggungjawab supaya meneliti dan menyiasat perkara ini sewajarnya.
“Pegawai HEP UPM tersebut harus memberikan penerangan dan memohon maaf kepada mahasiswa yang terbabit. Dia sepatutnya bertanggungjawab atas kenyataan yang dikeluarkan”, kata Norazali Zainuddin selaku Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional. Selain itu, beliau mengulas tekanan Hal Ehwal Pelajar (HEP) kepada mahasiswa akan berterusan saban tahun sehingga menjelangnya Pilihanraya Kampus. Taktik dan strategi membuang mahasiswa daripada kolej kediaman dan menghalang sebarang aktiviti yang dijalankan oleh Pro-Mahasiswa setiap kampus merupakan cara biasa dan lama untuk menghilangkan pengaruh Pro-Mahasiswa kepada seluruh warga kampus. Norazali menyifatkan strategi ini tidak sekali-kali melemahkan gerakan mahasiswa dan tekanan yang diberikan akan menjadikan Pro-Mahasiswa Nasional semakin kuat dan tegar dalam memperjuangkan hak mahasiswa.
Kita sedia maklum bahawa, Hal Ehwal Pelajar (HEP) merupakan badan bertindak untuk mengawal segala aktiviti mahasiswa. HEP juga merupakan badan yang terlibat secara langsung dengan Pilihanraya Kampus dan menjadi Suruhanjaya Pilihanraya di setiap kampus di Malaysia.
Untuk pengetahuan sahabat mahasiswa, mahasiswa di luar negara mampu membuat syarikat sendiri, mampu untuk mencetak surat khabar edisi mahasiswa sendiri dan mampu untuk mengeluarkan pendapat dalam setiap debat yang dijalankan dalam universiti. Namun mahasiswa di Malaysia, dengan wujudnya AUKU menyebabkan hampir kebanyakkan mahasiswa sudah menjadi budak sekolah kembali ataupun ayam yang diternak sehingga gemuk.
Mahasiswa sebenarnya mempunyai kuasa yang cukup luar biasa. Kebanyakkan ahli akademik dan juga ahli politik akur dengan idealisma mahasiswa kerana mampu menjadi agen masyarakat. Contohnya, demostrasi Baling yang cukup membuktikan mahasiswa mampu memperjuangkan hak rakyat pada tempat. Namun mahasiswa kini?
Kita tertanya-tanya adakah dengan terpindanya AUKU semasa sidang Dewan Rakyat berlangsung mampukah mengembalikan kekuatan kuasa mahasiswa sebagai juru bicara ummah?. Teman mahasiswa, selama 34 tahun AUKU diperkenalkanm saya akui satu masa yang agak panjang untuk mahasiswa ingin kembali berkuasa seperti dulu. Sistem pendidikan yang melatih mahasiswa kini cukup jelas menyebabkan mahasiswa kini lebih kepada akademiknya. Saya tidak menyalahkan mahasiswa dengan buku-bukunya, tapi yang saya kesali hanya semasa zaman mahasiswa sahajalah masa kita untuk menimba pengalaman yang banyak bukan sekadar membaca buku di perpustakaan dan masuk ke tutorial.
Sewajarnya HEP dihapuskan dalam kamus Universiti jika mahaukan kuasa autonomi penuh diberikan kepada universiti. Perkara yang remeh temeh tidak dapat diselesaikan, seperti kertas kerja (KKD) program tidak diluluskan HEP. Kekadang hanya tersilap ejaan, program mahasiswa terpaksa dibatalkan. Adakah ini kuasa HEP yang kita mahukan? Duit persatuan juga mestilah melalui HEP, kekadang ketika pergi ke pejabat HEP, kerani bertugas pula tiada ( terutamaya semasa pilihanraya umum). Saya ingin bertanya, adakah perangai tak ambik kisah dan sambil lewa ini ingin diteruskan? Fikirlah sendiri..
Pernah saya terfikir, kekadang semasa pilihanaraya semasa Pro-Mahasiswa dan juga ASPIRASI (jika tidak ditukar nama lagi) seperti membuang masa mahasiswa. Betul tak?. Bayangkan sewajar dan sepatutnya, mahasiswa berlawan dengan HEP bukan sesama mahasiswa. HEP yang mengeluarkan peruntukkan, HEP yang meluluskan aktiviti mahasiswa, HEP yang mengawal segala perjalanan mahasiswa. Habis itu, kenapa mahasiswa sesama sendiri ingin bertempur? Bukankah cukup jelas masalah bagi universiti adalah HEP itu sendiri?
Oleh yang demikian, cuba koreksi kembali kelebihan dan kekurangan mahasiswa kini. Pro-Mahasiswa akan mengatakan dialah yang paling hebat dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa. ASPIRASI pula akan mengumumkan mereka masih relevan untuk memimpin mahasiswa, dan HEP hanya ketawa melihat gelagat mahasiswa. Kebajikan? Perpaduan? Intelektual? Semua ditentukan oleh HEP. Percayalah, selagimana kuasa tidak diberikan kepada mahasiswa untuk menentukan masa depan universiti, universiti di Malaysia tidak akan dapat mencabar universiti-universiti yang lain di luar negara. Lupakan sahaja rangking university di THES